*click to enlarge the photo.*
Pada Jam 11.20pagi. 4hb Mac 1968, ia itu lebih kurang 41 tahun yang lalu, satu kebakaran yang dianggap paling dasyat pernah berlaku dalam Negeri Kedah Darul Aman ini telah pun berlaku di perkampungan perikanan Kuala Kedah. 95% perumahan daripada seluruh perkampungan Kuala Kedah hangus terbakar. Kampung perikanan yang cantik ini telah menjadi padang jarak padang terkukur dalam masa yang begitu singkat sekali. Rumah kedai serta perumahan awam yang hangus dibakar berjumlah 1200 pintu. Mangsa kebakaran yang tinggal sehelai sepinggang berjumlah 6250 orang. Hasil kerugian tidak dapat terkira, mangsa kebakaran berada dalam keadaan sengsara dan menderita.
Pembangunan dan pembinaan semula perkampungan Kuala Kedah siap secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa. Pada keseluruhannya, perkampungan ini siap dibina semula dalam jangkamasa 6 hingga 7 tahun kemudiannya.
Kebakaran ngeri dan peristiwa dasyat tersebut telah pun dijadikan sebagai satu pengajaran dan pengalaman pahit bagi penduduk-penduduk Kuala Kedah. Peristiwa dasyat tersebut telah mendorong dan menyedarkan para penduduk Kuala Kedah tentang betapa penting dan wajibnya penubuhan sepasukan bomba sukarela di Kuala Kedah. Di atas usaha gigih dan semangat yang berkobar-kobar, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah akhirnya berjaya ditubuhkan pada 24hb Mei 1976 ia itu lebih kurang 33 tahun yang lalu.
Di atas kesedaran daripada pengalaman pahit yang masih terpendam di dalam sanubari penduduk Kuala Kedah, dengan semangat sehati sejiwa mereka menghulurkan sumbangan kewangan dengan ikhlas hati dalam penubuhan Pasukan Bomba Sukareka Kuala Kedah ini. Di atas matlamat yang murni tersebut, penubuhan Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah menerima sambutan yang begitu baik dan meriah sekali. Dermaan itu dijadikan sumber kewangan dalam pembelian pam angkut serta peralatan-peralatan pemadaman api. Peralatan bomba itu disimpan di Kedai Papan ' Chop Jin Sang ' dan ahli-ahli bomba menggunakan lori pengusaha kedai berkenaan untuk tujuan perkhidmatan kebombaan.
Lima tahun kemudian, sebuah kereta bomba lama telah diserahkan kepada Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah oleh Jabatan Perkhidmatan Bomba Kedah & Perlis. Di atas usaha gigih dan prestasi cemerlang yang dipertunjukkan oleh Pasukan Bomba Sukareka Kuala Kedah, galakan serta sokongan orang ramai terhadap PBSKK meningkat dari semasa ke semasa. Dermaan demi dermaan diterima tidak terhenti-henti. Dengan punca kewangan tersebut, pada bulan Disember 1989, sebuah lagi kereta bomba terpakai yang mempunyai kemudahan dan peralatan termoden diimpot khas dari negeri Jepun. Kereta bomba terpakai itu dibeli dengan harga pembelian lebih kurang RM 40,000.00 dan ia dapat dikecualikan daripada pembayaran cukai dan hasil jalan oleh pihak Kerajaan.
Pada tahun 1990, Jawatankuasa Bomba Sukarela Kuala Kedah memutuskan untuk mendirikan bangunannya sendiri. Satu kutipan besar-besaran telah pun dilaksanakan. Dermaan yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM 270,000.00. Di atas jasa baik Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, satu tapak tanah Mukim Kuala Kedah dipertengahan bandar perikanan, seluas 18000 kaki persegi diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dengan percuma untuk tujuan mendirikan bangunan Bomba Sukarela Kuala Kedah. Atas usaha gigih Jawatankuasa Pengurusan Bomba Sukarela Kuala Kedah, pada bulan Ogos 1991, Bangunan Bomba Sukarela Kuala Kedah berjaya didirikan di atas tapak yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.
Semangat khidmat cemerlang pasukan ini yang sanggup berkorban secara sukarela untuk masyarakat umum bertambah gigih dari semasa ke semasa. Perkhidmatan cemerlang mereka itu bukan sahaja dapat sambutan baik daripada masyarakat umum bahkan juga dapat menarik perhatian pihak Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sehingga pihak Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pernah menawarkan pemberian elaun kepada setiap ahli bomba sukarela pasukan ini. Akan tetapi, di atas dasar penubuhan pasukan bomba ini adalah semata-mata merupakan satu pertubuhan sukarela, tambahan pula, di atas semangat berkhidmat dan berjuang untuk nusa dan bangsa Malaysia, pihak Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah menolak penawaran tersebut.
Atas perkhidmatan yang cemerlang serta disiplin yang baik sekali dipertunjukkan semasa majlis perhimpunan di perkarangan Balai Bomba Tikam Batu pada tahun 1992, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah dianugerahkan sebagai pasukan yang paling berdisiplin oleh Timbalan Ketua Pengarah Bomba Malaysia.
Di atas prestasi cemerlang yang dihasilkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah serta keberkesanan pentadbiran dan penerajuan Jawatankuasa Pengurusan Bomba Sukarela Kuala Kedah, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Encik Lim Gim Hiang telah diberi penghormatan yang tinggi kerana menerajui satu pasukan bomba sukarela yang penuh berkualiti, di mana beliau dianugerahkan Pingat Emas Ketua Pengarah Jabatan Bomba Malaysia ia itu Bintang ‘PKPB’ pada bulan April 1993.
Jasa Pengerusi diberi penghormatan, akan tetapi, budi Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah juga tidak diketepikan. Demi untuk menghargai jasa bakti Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah di atas dedikasi dan pengorbanan ahli-ahlinya terhadap rakyat Kuala Kedah khasnya dan seluruh masyarakat Negeri Kedah Darul Aman amnya, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah terpilih sebagai Pemenang Anugerah Dayausaha Guinness atau pun lebih dikenali sebagai “Guinness Effort Award” bagi tahun 1993 oleh pihak Guinness Anchor Berhad.
Upacara Anugerah Dayausaha Guinness tersebut telah disempurnakan pada 15hb Jun 1993 oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Haji Osman Bin Haji Aroff, bekas Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman di Bangunan Bomba Sukarela Kuala Kedah.
Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah sekali lagi diberi penghormatan tinggi. Dalam penerbitan Buku Teks Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah bagi matapelajaran Kajian Tempatan untuk Tahun 4 bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, perjuangan dan perkhidmatan cemerlang Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah dijadikan bahan bacaan dalam buku teks penerbitan Syarikat The Malaya Press Sendirian Berhad. Buku tersebut telah mendapat kebenaran pihak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk diedarkan sebagai Buku Teks wajib bagi semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak.
Di atas kecemerlangan perkhidmatan sukarela yang dipertunjukkan oleh ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah, pada bulan November 1995, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah sekali lagi dipilih sebagai Johan dalam ‘Pertandingan Bomba Sukarela Terbaik’ peringkat Negeri Kedah Darul Aman sempena Hari Q 1995 anjuran Jabatan Perkhidmatan Bomba Negeri Kedah & Perlis.
Berdasarkan perkhidmatan cemerlang yang ditunjukkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah, pada bulan April 1996 dan bulan November 1998, Setiausaha Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah Encik Tan Wah Meng dan
Ketua Pasukan Encik Tan Chang Hoek telah dikurniakan Bintang PSB, ia itu anugerah Pingat Setia Bomba oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba Malaysia manakala pada bulan November 1998 pula, Encik Tan Swee Peng, selaku Penolong Ketua Pasukan, telah pun terpilih sebagai pemenang ‘Anugerah Perkhidmatan Vokasional Rotary’ yang dianugerahkan oleh Kelab Rotary Alor Setar.
Selain daripada itu, pada 9hb April 1999, sempena Majlis Perasmian Pameran Sejarah dan Perkembangan Bomba & Penyelamat Malaysia yang di rasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Ting Chew Peh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia bertempat di Dewan Besar PERZIM, Muzium Rakyat Melaka, globlet pewter, piala, sijil penghargaan serta banyak bahan-bahan berkaitan dengan perkembangan serta prestasi kecemerlangan Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah pun di pamerkan dalam Muzium Rakyat Melaka sebagai bahan pameren bomba sukarela. Ini merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan tinggi yang di berikan kepada Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah
Pada bulan November tahun 1999, Tuan Pengurus Hock Ju Auto Parts Encik Kho Chu Ju bersamaan dengan Tuan Pengurus Syarikat Daieshoji Encik Chandra Segaran telah pun bersama-sama mengimpot sebuah kereta bomba terpakai terus dari Negeri Jepun, mereka menanggung segala kos pembelian serta kos impot kenderan berkenaan dan sumbangkan kereta bomba tersebut secara ikhlas, sukarela dan percuma kepada pihak Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah kerana berasa kagum dan bangga atas perkhidmatan kebombaan cemerlang yang dipertunjukkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah.
Sementara pada bulan Jun 2000 pula, buat kali pertama dalam sejarah Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah, sejak penubuhannya, seorang Timbalan Menteri daripada Kerajaan Pusat, ia itu Yang Berhormat Dato’ Peter Chin Fah Kui, Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Malaysia telah melakukan lawatan rasmi ke Balai Bomba Sukarela Kuala Kedah ini untuk meneliti secara lebih mendalam lagi tentang kecemerlangannya dalam bidang kebombaan. Yang Berhormat Dato’ Peter Chin amat mengagumi dan berasa bangga atas segala kejayaan yang dicapai oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah.
Segala kecemerlangan Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah sampai ke kemuncaknya. Pada 22 Februari 2001, Yang Berhormat Dato’ Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia telah menyempurnakan upacara pembukaan rasmi Bangunan Bomba Sukarela Kuala Kedah. Majlis pembukaan rasmi Bangunan Bomba Sukarela Kuala Kedah ini dapat direstui oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dengan hadirnya sendiri Ketua Pemimpin Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman ia itu Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Syed Razak, Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman. Segala perbelanjaan pembukaan rasmi bangunan berkenaan yang menelan belanja hampir 30 ribu ringgit telah dibiayai 100% oleh Yang Berhormat Dato’ Beh Heng Seong, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina Negeri Kedah Darul Aman kerana kagum dengan sumbangan dan prestasi yang dipamerkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah selama ini.
Kecemerlangan yang dipertunjukkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah mengharumkan nama baik pasukan ini bukan sahaja di masyarakat tempatan, bahkan di peringkat Negeri Kedah, dan juga di peringkat kebangsaan. Kalau kita mencerakin dengan lebih mendalam lagi, unsur paling penting sekali yang menjayakan perkhidmatan pasukan ini adalah dari segi keberkesanan pengurusannya. Pada hakikat pertubuhan ini, ahli-ahli jawatankuasa pengurusan mestilah terdiri daripada golongan bukan ahli-ahli bomba sukarela. Dalam lain kata, Ahli Jawatankuasa Pengurusan adalah berasingan dengan ahli bomba sukarela. Peranan Jawatankuasa Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah ditumpukan dalam tugas-tugas merancang, mendapatkan sumber kewangan untuk memastikan perkhidmatan kebombaan tidak akan terbatas atau terjejas atas unsur kewangan yang tidak kukuh. Memandangkan pertubuhan ini merupakan satu organisasi sukarela, maka perbelanjaan-perbelanjaan routin khususnya kos penggunaan minyak, pembaikian jentera bomba, pembelian alatan kebombaan, perbelanjaan bekalan letrik, air, telefon serta pelbagai perbelanjaan runcit dari semasa ke semasa haruslah dielakkan supaya tidak menjadikan satu bebanan terhadap ahli-ahli pasukan bomba yang memberi perkhidmatan tanpa mempunyai sebarang sumber keuntungan. Bebanan yang merupakan masalah ini pasti akan mematahkan semangat ahli bomba sukarela. Maka Jawatankuasa Pengurusan memainkan peranan yang paling penting dalam urusan kewangan berkenaan. Urusan-urusan umpamanya pembelian alatan kebombaan, pembelian kereta bomba, mendirikan bangunan bomba sendiri diurus sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan manakala ahli-ahli bomba menumpukan perhatian penuh dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan kebombaan dari semasa ke semasa.
Hubungan erat antara Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah dengan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Kedah Darul Aman memainkan peranan yang paling penting sekali dalam meningkatkan pengetahuan, ilmu, pengalaman serta prestasi perkhidmatan kebombaan pasukan ini. Atas bimbingan dan sokongan kuat daripada pihak Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Kedah Darul Aman yang senantiasa penuh berprihatian memberikan perangsangan, bantuan, nasihat serta tunjuk-ajar yang amat diperlukan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah dari semasa ke samasa, barulah ahli-ahli bomba sukarela dapat menjana kecemerlangan dalam aktiviti kebombaan mereka.
Atas kerjasama yang erat dengan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Kedah Darul Aman, melalui jadual yang terancang, kekerapan latihan-latihan kawat, cara-cara penggunaan alatan bomba dan latihan menyelamat, pengongsian pengalaman serta ceramah-ceramah yang berfaedah telah pun disarankan kepada ahli-ahli bomba sukarela dari semasa ke semasa telah pun mendorong Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah menyumbangkan khidmat kebombaan yang profesional dan berkesan.
Selain daripada itu, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah juga mempunyai Piagam Pelanggan dan pengamalan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) yang tersendiri di mana ia telah dijadikan sebagai satu panduan, ‘bench-mark’dan peraturan yang harus diamal dan diikuti oleh semua ahli bomba sukarela agar mereka mempunyai satu hala-tuju yang jelas, satu peraturan yang lengkap serta satu panduan yang tidak akan menimbulkan sebarang kemusykilan dan kekeliruan kepada ahli-ahlinya. Dengan adanya Piagam Pelanggan dan Standard Q tersebut, semangat, komitmen, disiplin, amanah serta keberkesanan perkhidmatan kualiti Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah telah berhaluan ke satu matlamat dan destinasi yang amat memerangsangkan.
Memandangkan tugas pencegahan kebakaran dan penyelamatan nyawa orang ramai dari bencana harus diberi bantuan serta-merta, maka dengan itu, untuk memastikan ahli-ahli bomba sukarela dapat berkumpul dan bersiap sedia di Bangunan Bomba Sukarela Kuala Kedah kurang daripada 5 minit, maka syarat pengambilan ahli-ahli bomba sukarela haruslah dipilih daripada kalangan pemuda-pemuda yang tinggal berdekatan dengan Balai Bomba Sukarela Kuala Kedah tidak melebihi 2 kilometer. Ini dapat memastikan tindakan boleh dilaksanakan dengan kadar yang paling singkat sekali sebaik sahaja mengenal pastikan tempat kejadian bencana.
Di samping itu, pengambilan ahli-ahli muda baru Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah dari semasa ke semasa amatlah penting sekali, ini boleh memastikan kesinambungan perkhidmatan ahli-ahli bomba sukarela senantiasa berlanjutan dan mempunyai pengganti yang sedia mengambil alih tugas pencegahan kebakaran pada bila-bila masa sahaja.
Pihak Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah juga senantiasa berganding-bahu serta memberi kerjasama penuh kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah Darul Aman dan menjalankan tugas mengikut arahan yang diberikan oleh Pegawai Bomba, setiap kali melaksanakan tugas bantuan kecemasan jikalau bersamaan dengan pihak Bomba. Atas nasihat dan tunjuk-ajar Pegawai Bomba, aspek-aspek keselamatan dan pencegahan kebakaran di bangunan-bangunan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya tragedi yang tidak diingini terhadap ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah seandainya terdapat ahli yang kurang peka terhadap prosedur keselamatan yang sepatutnya diikuti.
Selain daripada itu, semangat keterlibatan menyeluruh baik daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan, mahupun daripada pihak ahli-ahli bomba sukarela disemai, dipupuk dan diamalkan setiap masa selagi mereka memegang jawatan berkenaan. Sikap tanggungjawab yang ikhlas, penuh beramanah, taat setia, cekal dan sabar telah pun wujud setelah semangat keterlibatan yang menyeluruh diamalkan, dan ia juga adalah merupakan unsur-unsur yang meninggikan disiplin, produktif dan kualiti perkhidmatan kebombaan Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah sehingga masa kini.
Atas semangat kerelaan berkhidmat untuk nusa dan bangsa secara sukarela, ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah tidak diperuntukkan sebarang elaun sama sekali dan tidak dibenarkan menerima sebarang elaun daripada mana-mana pihak yang menawarkan pemberian sedemikian. Dengan cara ini, masyarakat sekeliling barulah akan memberi sokongan yang kuat dan padat terhadap ahli-ahli bomba sukarela yang benar-benar berkhidmat secara sukarela. Ini juga membolehkan pihak Jawatankuasa Pengurusan mempernampakkan generasi-generasi muda yang bersungguh-sungguh rela berkorban dan berkhidmat untuk faedah masyarakat. Akan tetapi, jasa ahli-ahli bomba sukarela juga harus di beri penghargaan. Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bomba Sukarela Kuala Kedah senantiasa akan mengadakan ganjaran kepada ahli-ahli bomba sukarelanya melalui jamuan penghargaan dan permuafakatan di setiap hujung tahun. Ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah juga di beri sijil penghargaan atau cenderahati sumbangan orang tempatan untuk tujuan meningkatkan semangat perkhidmatan sukarela mereka dalam kebombaan.
Pada kelazimannya, ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah amat kerap mengadakan ‘post-motem’serta perbincangan secara mendalam untuk menganalisa, mencerakin serta mengenal-pasti punca-punca kelemahan yang terdapat dalam khidmat kebombaan dan langkah-langkah bagaimana untuk mengatasi dan mempertingkatkan perkhidmatan sekurang-kurang dua minggu sekali.
Dengan semangat kesedaran tersebut, kelemahan-kelemahan tersebut akan dapat dielakkan dan tidak akan berulangan di masa-masa hadapan.
Senarai semak juga disediakan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah untuk memastikan alatan kebombaan senantiasa mencukupi, jadual pemeriksaan jentera bomba juga dicatat dari semasa ke semasa. Selain daripada itu, ahli-ahli bomba sukarela harus memastikan alatan kebombaan bukan sekadar lengkap sahaja, mereka juga harus memastikan alatan-alatan berkenaan disimpan dan disusun dengan teratur serta berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Ini boleh memastikan tugas-tugas penyelamat tidak akan menjadi kelam-kabut dengan menghadapi masalah alatan-alatan yang tidak mencukupi atau yang tidak boleh berfungsi akibat kelemahan pengurusan.
Di samping itu, pihak Jawatankuasa Pengurusan serta Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah juga senantiasa mengadakan mesyuarat dan perbincangan bersama demi untuk mengenalpasti kehendak-kehendak kedua-dua pihak atas kepentingan dan faerah masyarakat. Melalui perbincangan rapat sedemikian, masalah-masalah dan kelemahan-kelemahan kedua-dua pihak boleh diberes atau sekurang-kurangnya diminimumkan demi untuk menjaga maruah, imej dan nama baik Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah.
Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bomba Sukarela Kuala Kedah juga memperbanyakkan pendedahan ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah melalui lawatan sambil belajar dengan pasukan-pasukan bomba sukarela lain untuk saling tukar pendapat, pandangan serta pengalaman masing-masing demi untuk meningkatkan perkhidmatan masing-masing. Selain daripada itu, pihak Jawatankuasa Pengurusan juga merancang supaya membolehkan ahli-ahli Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah supaya mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan yang bersangkut-paut dengan aktiviti kebombaan untuk meninggikan imej dan semangat Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah dari semasa ke semasa.
Pihak Bomba Sukarela Kuala Kedah penuh berkeyakinan, atas usaha gigih Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah sendiri serta sokongan kuat daripada orang ramai, khususnya daripada pihak Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Kedah Darul Aman yang senantiasa penuh berprihatian berganding-bahu menghulurkan bantuan serta nasihat yang amat tinggi nilainya terhadap pasukan ini, saya percaya, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah akan terus menjana kecemerlangan dalam aktiviti kebombaan atas keterlibatan menyeluruh daripada semua pihak yang memberikan sokongan dan semangat yang kuat dan padat pada setiap masa demi untuk kebaikan dan kebajikan nusa dan bangsa.
Disediakan oleh:-
Encik Tan Hye Liang - Penasihat Pasukan Bomba Sukarela Kuala Kedah